Sunday, 23 March 2014

CITA-CITA KITA YANG TIDAK PERNAH MENJADI

Bertanyalah pada mereka yang berusia lebih 20 tahun. Apakah bidang yang mereka terokai itu adalah apa yang mereka impikan? Saya percaya 5 daripada 10 orang mereka yang ditanya itu akan mengiakan dengan yakin dan bangga. Mereka ini akan berkata, ‘ya’ inilah bidang yang mereka ingin ceburi.


Bertanyalah pula pada mereka yang berusia lebih 30 tahun. Apakah bidang yang mereka ceburi itu adalah apa yang mereka impikan? Saya percaya, daripada 10 orang yang ditanya, tidak seorang pun daripada mereka sedang menikmati bidang yang mereka cita-citakan.

Tanyalah mereka yang lebih30 tahun di sekeliling anda. Jiran, kenalan, sahabat, rakan sepejabat, malah sesiapa sahaja. Anda akan dapati, bidang yang mereka terokai itu sama sekali bukan bidang yang dicita-citakan.

Malah, tanyalah diri kita sendiri. Apakah bidang yang menjadi kerjaya kita kini adalah sebenar-benarnya bidang yang kita impikan? Jawapan yang jujur tentulah ‘tidak’!


Baiklah, mana mungkin tiada sesiapa pun yang tidak mencapai dan menikmati apa yang dicita-citakan? Kenyataan di atas mungkin sekali andaian. Namun, jika kita temui orang yang benar-benar mempunyai cita-cita sejak  kecil untuk menjadi arkitek dan dapat melanjutkan pelajaran dari peringkat diploma, ijazah, master dan peringkat kedoktoran di dalam bidang itu, dan kini adalah seorang arkitek, tanyalah pada mereka apa yang mereka mahu? Jawapan mereka ialah mereka mahu meninggalkan bidang itu dan menceburi bidang lain!


Mengapa terjadi begini? Mengapa cita-cita yang diingini beralih arah, seiring waktu berganjak? Mengapa pula cita-cita yang digapai hendak dilepaskan pula? Bukankah ini menandakan hanya Dia berkuasa terhadap apa sahaja?


Merancanglah dengan teliti dan rapi. Kemudian berusahalahdan gapailah apa yang diimpikan itu. Sebaik saja kita berasa Berjaya memperoleh sesuatu dengan usaha kita sendiri, tanpa kita sedari, apa yang dicita-citakan, apa yang tergapai semuanya akan melorot dari genggaman.


Kerana apa? Kerana Allah tidak mahu kita berasa, kitalah yang berjaya di atas usaha sendiri. Lantas berdasarkan kejayaan itu, kita terus berusaha dan berusaha hingga mempunyai kepercayaan yang kita berkuasa terhadap kehendak itu. Lantas perasan kitalah master of our own destiny, lalu melupakan kesemuanya adalah di dalam genggamanNya.


Justeru itu, janganlah terlalu berbangga bila memperoleh apa yang diimpikan. Jangan pula meraung sakan seandainya apa yang dicita-citakan tidak dapat digapai. Segala-galanya adalah hak Pencipta seluruh alam ini. 


Sumber : Maaf Cakap - Norden Mohamad (Buku Motivasi)



Friday, 21 March 2014

BESAR SANGATKAH JASA IBU?

Jika kau bertanya, besar sangatkah jasa ibu sehingga tidak mampu dibalas langsung? Maka, Allah sendiri memberi jawapan, “Kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada orang tuanya. Ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusuinya selama dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua orang tuamu. Hanya kepada Aku kamu kembali.” (Luqman 31:14)


Tiga jasa ibu yang tidak aka nada seorang manusia pun dapat menandinginya. Pertama, mengandung, kedua, melahirkan dan ketiga, menyusukan. Penanggungan itu sangat hebat, sehinggakan Allah mengingatkan:
“Dan kami mewasiatkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Ibunya mengandungkannya dengan menderita kelemahan demi kelemahan, dan cerai-susukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu! Hanya kepadaKu tempat kembali.” (Luqman 31:14)


Bayangkan, betapa peritnya menanggung beban selama sembilan bulan. Beban biologi, fisiologi dan emosi pada tahap tertinggi. Kenangkan rasa loya, penat dan kadang tumpah darah sewaktu mengandungkan engkau. Dahsyat dan sungguh berat penanggungan itu. Namun ibu masih mampu tersenyum mengusap perutnya kerana engkau berada di situ.


Sumber : Majalah Solusi Isu 66